Nas Adila, penyanyi suam-suam kuku yang mempunyai 2 album baru sahaja mengikat tali pertunangan dengan seorang Kerabat Di Raja Kedah yang juga ahli perniagaan dalam bidang pembinaan, Yang Mulia Putera Megat Azizul Azree.
Nas Adila akan menerima hantaran sebanyak RM22,222.22 setelah tali pertunangan yang di’ikat selama 2 tahun ini berakhir dengan perkahwinan yang pastinya lebih meriah & gah.
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Sudah rezeki penyanyi comel, Nas Adila disunting kerabat diraja Kedah, Putera Megat Azizul Azree Datuk Baharin. Dari seorang kenalan biasa, akhirnya cinta berputik antara mereka selepas dua tahun mengenali.
Selasa lalu, Nas Adila dan ibunya sendiri melayangkan kad undangan pertunangan yang akan diadakan di kediamannya di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor pada hari ini (Ahad), jam 2 petang. Selain majlis pertunangan, ia juga rumah terbuka sempena Aidilfitri untuk kenalan, peminat dan media.
Bertuah Nas apatah lagi khabarnya hantaran yang bakal diterima adalah sebuah rumah dan kereta.
Nas menjelaskan dia mahupun keluarga tidak pernah meminta rumah atau kereta seperti gosip yang pernah tersebar tidak lama dulu, sebaliknya ia adalah pemberian Azizul sebagai hadiah kepadanya.
“Saya tersinggung, sebelum ini pernah ada artikel mengatakan saya meminta Azizul memberikan rumah dan sebuah kereta sebagai hantaran. Ia tidak benar sama sekali. Saya dan keluarga tidak pernah memintanya, sebaliknya Azizul dengan ikhlas hati mahu menghadiahkan kepada saya.
“Jadi, dengan penjelasan ini, saya harap tidak ada yang memandang saya sebagai seorang yang materialistik. Saya mengenali Azizul berdasarkan perwatakan serta hatinya yang ikhlas.
“Saya juga tertarik dengan sifat lucu Azizul dan dia juga selalu memberi semangat ketika saya berdepan dengan masalah. Itu yang membuat hati saya terbuka menerimanya, bukan kerana harta, kekayaannya,” katanya Nas.
Nas juga beritahu, dia juga tidak merancang mendirikan rumah tangga dalam usia yang muda, namun dalam masa yang sama, dirinya juga tak mahu menolak kehendak takdir selepas keluarga Azizul datang merisik.
“Azizul membuat kejutan pada saya. Kami memang tak merancang apa-apa, malah sebulan sebelum rombongan merisik, kami tidak pernah berhubung. Saya menerima panggilan daripada seseorang yang ingin ke rumah untuk membincangkan soal persembahan. Pelik juga hingga ke rumah mahu membuat perundingan.
“Saya menolak dengan baik sehinggalah rombongan merisik sampai di hadapan rumah saya pada 29 Ogos lalu. Saya dan keluarga terkejut apabila dua kereta turut diiringi polis trafik. Sangkaan saya mungkin ada sesuatu perkara yang tidak elok sudah berlaku.