Welcome to cacamerbahentamsaja™...ada apa-apa request post je kat chatbox aku..kalo leh saya tunaikan.heee...harap kamu enjoy dalam blog yang tak seberapa nie....hee..tima kasih pada 5zal dan Dj Farrel yg memberi ispirasi kepada saya untuk membuat blog nie...any problem contact me at ndiey_redsagigod@yahoo.com.my assalamualaikum

Renungan

Wednesday, March 18, 2009

Apakah kesan sekiranya kita boikot…

boycottPerniagaan ini beroperasi di negara Muslim, memberi pekerjaan dan meningkatkan ekonomi. Tidakkah usaha boikot merugikan kita sendiri?

Benar, banyak dari syarikat perniagaan yang tersenarai menjalankan operasi atau perniagaan mereka di negara-negara Islam, justeru mereka memberi pekerjaan kepada masyarakat Islam dan membantu ekonomi negara Islam. Tetapi kita seharusnya belajar dari peristiwa-peristiwa pembangunan ekonomi dunia, di mana keruntuhan sesebuah entiti perniagaan selalunya membuka peluang kepada entiti yang lain. Kita seharusnya mengambil situasi ini sebagai peluang untuk membina ekonomi sendiri, bukan sebagai kehilangan punca ekonomi.


Sebagai contoh, Coca-Cola yang sekian lama mendominasi pasaran Asia Tengah telah mengalami kemerosotan jualan sehingga 60% akibat boikot. Kemerosotan ini telah membuka peluang kepada produk alternatif milik perniagaan Muslim dari Iran, ZamZam Cola. ZamZam Cola sehinggakan tidak dapat menampung permintaan bagi memenuhi kekosongan pasaran Coca-Cola. Malahan, mereka berjaya menjual sebayak 4milion tin minuman dalam minggu pertama, suatu yang tidak sekali-kali dijangka. Sekarang? ZamZam Cola meluaskan perniagaan dengan membuka kilang-kilang di negara Teluk, sekaligus memberi peluang pekerjaan yang jauh lebih menyeluruh kepada masyarakat. Dan buat pertama kalinya sebuah negara dari Eropah, iaitu Denmark, mula mengimpot ZamZam Cola.

Senario sama berlaku di Mesir pada tahun 2001, di mana penutupan syarikat Sainsbury telah berjaya meningkatkan perniagaan milik tempatan yang tidak mungkin mampu bertahan dengan dominasi pasaran syarikat-syarikat besar dari luar.

Buat kita di Malaysia, apakah salahnya kita meninggalkan ayam goreng McDonald’s dan seterusnya mencuba produk alternatif, contohnya Radix Fried Chicken atau mana-mana restoran Mamak Muslim berdekatan. Tidak rugi kita meninggalkan minuman Coca-Cola dengan memilih alternatif produk tempatan yang diusahakan oleh orang Islam. Apakah salahnya kita beralih daripada mengunjungi Pasaraya Tesco kepada Pasaraya Maidin?

Apakah usaha ini akan berjaya?

Mengapa tidak? Lihat kepada salah satu syarikat yang mengalami kesan teruk akibat boikot - McDonald’s.

McDonald’s merupakan “rakan korporat utama” kepada Jewish United Fund (JUF.) JUF menggelarkan diri mereka sebagai “bekerja untuk mengukuh ketenteraan Amerika, sokongan ekonomi dan diplomatik kepada Israel; memerhati dan sekiranya perlu, memberi respon kepada laporan media berkenaan Israel.” Pengerusi dan Ketua Eksekutif McDonald’s adalah Jack M Greeberg, yang juga merupakan Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry.

Dalam bulan Oktober 2002, McDonald’s menutup operasi mereka di Asia Tengah kerana kerugian akibat kesan secara langsung daripada usaha boikot. Di Jordan, 2 daripada 6 francais McDonald’s terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Di Mesir, McDonald’s terpaksa menukar jenama mereka kepada Manfoods sebagai usaha untuk mengelirukan
pelanggan. Usaha menukar jenama itu tidak berjaya, dan pihak berkuasa Mesir terpaksa diarahkan mengawal pintu-pintu masuk ke restoran McDonald’s akibat tindakan masyarakat yang membaling batu ke arah restoran berkenaan. Sejumlah 175 restoran mungkin ditutup, dengan membawa kerugian sebayak USD350juta.

Sekiranya syarikat gergasi seperti McDonald’s boleh menerima kesan dan tekanan akibat boikot, sudah tentu syarikat-syarikat yang lebih kecil, yang menyokong Israel, akan membuka mata dan berhati-hati dengan usaha boikot ini.

Dalam kes memboikot Amazon.com, perniagaan yang menjual buku dan produk berkaitan melalui internet tersebut telah menghentikan kerjasama mereka dengan Jerusalem Post pada bulan November 2002.Jerusalem Post telah menyumbang sebahagian daripada keuntungan hasil kerjasama dengan Amazon.com kepada tentera Israel yang pulang dari tugasan mereka di daerah Palestin.

Iklan-iklan Amazon.com yang berbunyi “Buy Amazon.com & Support Israel” dipaparkan dalam hampir setiap mukasurat Jerusalem Post. Amazon akhirnya dikatakan memberhentikan kerjasama tersebut akibat desakan pelanggan yang prihatin.

Beberapa syarikat yang sedih dengan apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap Palestin, membuat keputusan untuk turut bersama memboikot Israel.

Pada bulan May 2002, Texas Automotive Export, iaitu sebuah syarikat di US yang mengekspot peralatan kereta telah memutuskan untuk tidak meneruskan perniagaan dengan Israel.

Kejayaan dan sambutan boikot memang membimbangkan US dan Israel, sehinggakan US mengancam untuk mengenakan denda terhadap syarikat yang terlibat dengan boikot ini. Jabatan Perdagangan US telah mengenakan
lebih dari USD 26milion denda tidak lagi mengeluarkan lesen ekspot kepada syarikat yang terlibat.

Tawar beli dara mahasiswa aussie

monash

MELBOURNE - Seorang penerbit filem lucah di Australia menggesa para pelajar wanita di universiti melelong dara di Internet serta merakam aksi seks mereka, lapor sebuah akhbar semalam.

Justin Sisely menawarkan wang tunai berjumlah £9,380 (RM48,500) kepada sukarelawan wanita yang masih dara atau lelaki teruna yang sanggup berlakon dalam siri dokumentarinya.

Katanya, pasangan bertuah akan menerima 90 peratus daripada hasil lelongan yang akan diperoleh menerusi aktiviti tersebut.

Dalam satu poster bertajuk ‘Dara dikehendaki’ yang ditampal di Universiti Monash, Sisely mendakwa dia adalah seorang penerbit filem yang ingin meneroka idea baru.

Sisely mengakui filem itu akan mempunyai babak kontroversi kerana sukarelawan perlu menjalani ujian dara.

Dakwanya, sehingga kini lebih 100 sukarelawan bersedia menjalani sesi uji bakat .

Dalam perkembangan lain, jurucakap universiti, Tim Mitchell berkata, pihaknya sudah menghubungi Sisely kerana poster tersebut dianggap keterlaluan.

Sumber : Agensi & Kosmo

Tuesday, March 17, 2009

Filem arahan Apek ditayang Jun

Rap
PENAMPILAN pelakon dan pelawak, Saiful Apek cukup sinonim dengan watak komedi.

Sejak sedekad lalu, sudah lebih 30 judul filem dibintangi sama ada sebagai pelakon utama ataupun bintang undangan.

Lagi Lagi Senario dan Cicakman antara dua filem lakonannya yang berjaya mencatat kutipan tertinggi, masing-masing melebihi RM5 juta.

Tidak cukup dengan lakonan, Saiful Apek mengembangkan bakat dalam pengacaraan, penyampai radio, penyanyi dan seterusnya pengarah filem.

Buah tangan pertamanya, filem Shh...Dia Datang yang diterbitkan Noradz Productions Sdn Bhd dengan kerjasama syarikatnya, Gitu Gitu Production Sdn Bhd, kini dalam proses untuk disiapkan.

Filem itu dianggarkan membabitkan peruntukan RM2.5 juta.

Saiful Apek berkata, filem itu kini dalam proses suntingan di Bangkok, Thailand dan jika tiada aral dijadualkan untuk tayangan pada Jun ini.

"Beberapa proses suntingan filem itu terpaksa dilakukan di sana. Malah, Bangkok memang menjadi destinasi pilihan kebanyakan karyawan seni Asia untuk proses memindahkannya ke filem.

"Bukan negara kita tidak ada, cuma kemudahannya masih baru justeru kepakarannya agak kurang. Proses berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor seperti kos yang tidak jauh bezanya.

"Filem ini turut menggunakan 10 peratus imej janaan komputer (CGI). Ia dilakukan dengan kerjasama Yusry Abdul Halim.



"Penggunaan CGI sedikit sebanyak dapat membantu filem ini dari aspek perspektif yang baru, selain memberi kesan tersendiri kepada penonton yang menyaksikan beberapa babak kecil membabitkan letupan dan kemalangan," katanya.

Filem berkenaan memaparkan penggambaran yang berlaku dalam penggambaran lain.

Beberapa watak dalam filem ini ingin menghasilkan filem berjudul Samseng. Dalam usaha mereka hendak menghasilkan filem itu, timbul pelbagai insiden lucu membabitkan produser yang berstatus Datuk dan Datin, pekerja filem, pengarah serta pelakon barunya.

Antara pelakon yang menjayakan filem ini, selain Apek sendiri ialah Aaron Aziz, Shukery Hashim, Kuna, Khatijah Tan, Zami Ismail, Ahmad Busu, Imuda, Datuk Jalaludin Hassan dan Airis Yasmin.

Pembabitannya sebagai pengarah menerusi filem itu menimbulkan tanda tanya banyak pihak berhubung karya yang diilhamkan produser, Datuk Adzhar Sulaiman.

Malah, ada yang menjangkakan Saiful Apek akan menumpukan bidang pengarahan tidak lama lagi.

"Saya memang menaruh harapan yang tinggi terhadap filem pertama ini. Saya juga mahu membalas kepercayaan Norads Production dan Datuk Adzhar untuk mencipta impak tersendiri dalam filem yang menggunakan format tiga kamera dalam satu masa itu.

"Saya banyak membuat rujukan dan mendapat panduan daripada sahabat yang terbabit dalam bidang ini seperti Afdlin Shauki yang memang diketahui mempunyai banyak pengalaman berlakon dan mengarah," kata Apek pemenang Artis Komedi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2007.

Pengalaman membabitkan diri selain berlakon dalam drama mahupun filem dengan genre komedi memudahkannya menghasilkan filem berkenaan.

Dia mengakui cukup selesa terbabit dalam bidang komedi.

Apek yang pernah berlakon dalam 11 filem dalam masa setahun mengakui agak penat sehingga menimbulkan kesedaran kualiti lebih penting daripada kuantiti.

Mengulas mengenai gandingan bersama peserta Raja Lawak musim kedua, Nabil dalam filem komedi Sifu & Tongga, Apek menyifatkan ia satu permulaan yang baik memandangkan watak dan jalan cerita yang berbeza daripada lakonan sebelumnya.

Teraju utama sitkom keluarga TV9, Nana Tanjung arahan Prof Madya A Razak Mohaideen itu turut membintangi sitkom Otai dan filem Kecoh Betul yang dijadualkan tayangannya penghujung tahun ini.

Dia juga terbabit dalam filem komedi, 4 Madu serta Cicak-Man 3 dan Dia Datang Lagi yang dijadualkan penggambarannya penghujung tahun ini.

Puteri Syabu

KUALA LUMPUR: Dia baru berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hujung tahun ini, tetapi popularitinya bagaikan artis terkenal tanah air.

Ini berikutan anak gadis ini cukup dikenali di pasaran gelap dadah tempatan terutama di kalangan pelajar sekolah yang mahu mendapatkan bekalan syabu jenis ‘ice’.

Digelar ‘Ice Ice Baby’ di kalangan pelanggannya, Amy, 17, turut menjual pelbagai jenis dadah lain termasuk ganja dan heroin selepas gagal mencari kerja sambilan ketika cuti sekolah tahun lalu.

“Saya cari kerja, tapi gagal sehinggalah bertemu seorang rakan sekolah yang memujuk menjadi ‘tokan’ (pengedar dadah kecil-kecilan) untuk mendapatkan wang mudah.




“Dengan pendapatan lumayan dan jadual kerja bebas saya tertarik dengan tawarannya.

“Saya meneruskan tugas itu apabila sesi persekolahan dibuka semula,” katanya ketika ditemui di Pondok Penyayang Raudah, Batu 11, Gombak, baru-baru ini.

Puteri Syabu ini tidak perlu bersusah payah mencari pelanggan, sebaliknya menggunakan sekolah sebagai ‘port’ mencari pelanggan.

“Ice’ memang terkenal di kalangan pelajar sekolah menengah dan mendapat permintaan tinggi kerana ia mudah dibawa ke mana-mana tanpa disedari.

“Pernah satu ketika beg sekolah saya berisi pelbagai jenis dadah, bukannya buku teks atau buku rujukan sekolah,” katanya.

Hasil kegiatan itu, Amy mampu meraih keuntungan sehingga RM500 sehari dan wang itu digunakan untuk bersuka ria termasuk turut membeli dadah dan minuman keras.

Selain menjual di sekolah, Amy turut menjual dadah di sekitar taman perumahannya di Hulu Selangor.

“Akibat asyik dengan kegiatan haram itu, dua rakan saya ditangkap polis. Sejak itu, kehidupan saya diselubungi ketakutan dan tertekan menyebabkan saya terpaksa berhenti sekolah buat sementara.

“Takut menjadi buruan polis, saya melarikan diri dan akhirnya ke sini (Pondok Penyayang Raudah) dan sampai kini hidup saya masih tidak tenang dan hidup umpama haiwan buruan,” kata remaja yang sudah insaf dengan perbuatan itu.

Amy adalah antara remaja liar yang ditempatkan di pusat ditubuhkan Pertubuhan Penyayang Raudah bagi memulihkan anak yatim, pelajar dan remaja bermasalah.

Selain Amy, pondok itu turut menempatkan beberapa remaja perempuan bermasalah lain terutama lari dari rumah dan terlanjur.

Pengasasnya, Mokhtaruddin Said, berkata kebanyakan penghuni adalah remaja yang terbabit dengan pelbagai masalah sosial termasuk menghidu gam, seks bebas dan ketagih arak.

“Kami pulihkan mereka dengan dakwah, iaitu mengajak dan menunjuk ajar remaja terbabit kembali ke pangkal jalan berlandaskan syariat Islam,” katanya.

Remaja terbabit dipulihkan dalam tempoh tertentu sehingga betul-betul pulih serta berjanji tidak mengulangi lagi perkara mungkar dan menyesatkan.

Seorang lagi penghuni pondok itu, Shima, 16, berkata dia dimasukkan ke situ kerana lari dari rumah selepas putus cinta dengan teman lelakinya.

“Saya hilang arah kerana sedih akibat putus cinta...selama seminggu saya tidur di merata-rata tempat termasuk di rumah abang angkat.

“Sepanjang tempoh itu, saya tak hiraukan langsung keluarga,” katanya.

Seperti gadis liar lain, Shima tidak menafikan dia pernah bergelumang dengan pelbagai dosa termasuk berzina sepanjang seminggu melarikan diri.

“Akhirnya saya ditemui keluarga lalu dibawa pulang ke rumah. Seminggu selepas itu, saya dihantar ke sini,” kata gadis yang mengaku hilang dara sejak berusia 12 tahun.

Penghuni lain, Yus, 21, Zu, 23, Sal, 22, dan Lia, 23 pula ditempatkan di pondok pemulihan akhlak berkenaan akibat terlanjur dengan teman lelaki masing-masing.

Kebanyakan mereka mengandung tujuh hingga lapan bulan dan ditempatkan di rumah terbabit menunggu saat melahirkan.

Ada antara mereka mengakui mahu menyerahkan anak masing-masing kepada keluarga angkat dan ada yang merancang melangsungkan perkahwinan sebaik melahirkan bayi.

Perebutan juara EPL belum berakhir: Hiddink


PEMAIN Aston Villa, Gabriel Agbonlahor (kanan) berebut bola dengan pemain Tottenham, Didier Zokora dalam saingan EPL di Villa Park, kelmarin. Tottenham menang 2-1.

LONDON: Guus Hiddink menegaskan bahawa perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) masih belum berakhir selepas Chelsea mengecilkan jurang dengan pendahulu, Manchester United kepada hanya empat mata, kelmarin.

Skuad bimbingan Hiddink bertindak balas terhadap kekalahan mengejut 1-4 United kepada Liverpool dengan menundukkan Manchester City hasil gol tunggal pada babak pertama oleh Michael Essien.

Ketika pengurus Chelsea itu mengakui bahawa kelebihan masih bersama skuad bimbingan Sir Alex Ferguson, yang beraksi kurang satu perlawanan, dia mendakwa keputusan hujung minggu lalu mampu menjelmakan kesan ketara kepada perjalanan saingan, musim ini.


Hiddink percaya faktor penentu ialah bagaimana United bertindak balas terhadap kejutan ditumbangkan di Old Trafford oleh antara musuh ketat mereka.

"Jika ia hanya empat mata, ia memang sengit, tetapi mereka ada satu perlawanan dalam tangan. Tetapi apa yang jelas ialah kemenangan Liverpool, kelmarin mengembalikan tekanan dalam saingan liga.

"Kita tunggu dan lihat cara mereka bertindak balas dalam beberapa hari akan datang. Ia bukan kali pertama ia berlaku, tetapi pasukan utama sentiasa mampu bangkit.


Chong Wei bukti telahan salah

Yongbo akui pemain nombor satu dunia itu mampu ancam dominasi China

RASA sangsi yang beraja dalam sanubari - betapa Lee Chong Wei belum berupaya menjustifikasikan status sebagai pemain nombor satu dunia - sudah terjawab di St Jakobshalle, Basel, malam kelmarin.

Kemenangan ke atas jaguh China, Lin Dan, buat mengungguli Terbuka Switzerland jadi bukti terbaik menepis telahan betapa lonjakan ke kemuncak ranking dunia itu semata-mata kerana ketiadaan pemain negara Tembok Besar di beberapa saingan antarabangsa.


"Bagi saya, ia bukti bahawa Chong Wei sudah mencapai tahap di mana dia layak dikategorikan dalam kelas tersendiri. Ketika ini, mungkin hanya dia dan Lin Dan di posisi itu.

"Malah Li Yongbo (ketua jurulatih China) sendiri akui bahawa Chong Wei adalah satu-satunya pemain yang boleh menjelmakan ancaman terhadap dominasi mereka," kata jurulatihnya, Misbun Sidek.

Selain Chong Wei, peminat badminton negara juga turut ceria, kelmarin selepas pasangan beregu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong juga gah muncul juara menewaskan pasangan Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen 11-14, 21-18.

Namun, Misbun sedar kemenangan 21-16, 21-16 ke atas Lin Dan itu hanya menjamin satu realiti - betapa juara Olimpik dan dunia itu akan mempertingkatkan lagi tahap persembahan untuk menundukkan Chong Wei.

"Kita perlu ingat bahawa Lin Dan tidak akan duduk diam. Malah saya jangkakan akan ada ketika selepas ini, Chong Wei kalah dengannya. Mungkin tahun ini, sasaran Lin Dan menang kejohanan dunia dan sudah tentu dia akan menyiapkan diri.

"Jadi, apa yang perlu dilakukan untuk Chong Wei ialah sentiasa bersedia. Mungkin akan ada beberapa kekalahan, tetapi Chong Wei tidak akan kalah semuanya," kata Misbun.

Bukti itu ketara kerana selepas tiga kekalahan berturut-turut - pada final Sukan Olimpik, Terbuka China dan Seluruh England - Chong Wei berjaya memenangi pertentangan, kelmarin.

"Untuk harapkan Chong Wei bangkit dan menang setiap kali dia kalah kepada Lin Dan, itu mungkin mustahil. Kerana kualiti rakan sepelatih dimiliki Lin Dan jauh lebih baik dengan apa yang ada untuk Chong Wei.

"Chong Wei harus sentiasa cuba dan tidak menyerah kalah. Kerana atas segala usaha dan kesungguhannya, pasti akan ada ketikanya Lin Dan menampakkan kegoyahan, dan dia harus sedia untuk memanfaatkannya lagi," kata Misbun.

Sunday, March 15, 2009

Makin intim di luar lokasi


Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Farid, Lisa terima takdir jika bertemu jodoh

BANYAK persamaan antara dua bintang yang terus mencuri perhatian ramai ini - Farid Kamil dan Lisa Surihani. Mereka bukan saja sering digandingkan bersama menerusi lakonan dalam filem dan drama, tetapi kerjaya seni turut diuruskan syarikat sama, Metrowealth Movies Productions (MMP), bahkan kedua-duanya diangkat sebagai Wajah Eksklusif Astro Megadrama, baru-baru ini.

Selain itu, Farid dan Lisa juga semakin gah di hati peminat apabila kedua-duanya dinobatkan sebagai finalis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 sehingga Farid kembali tersenarai menerusi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular apabila namanya pernah ‘tergelincir’ pada ABPBH musim lalu, manakala Lisa yang baru setahun jagung bergelar artis, selesa dalam kelompok Top 5 kategori Artis Baru Wanita Popular.

Justeru, pasangan ‘merpati dua sejoli’ ini tidak dapat lari daripada kenyataan apabila sering menjadi usikan peminat dan media massa yang melabelkan mereka sebagai pasangan sedang hangat bercinta, gara-gara sering kelihatan bersama ketika waktu kerja mahupun di luar lokasi. Bukan sekadar ungkapan klise - cinta lokasi, namun apabila diperhatikan kemesraan Farid dan Lisa, seolah-olah ada satu perasan yang tersembunyi!



Apabila beraksi di layar lebar mahupun di kaca TV, mereka kelihatan secocok, bahkan ketika menjayakan sesi fotografi bersama B*Pop Isnin lalu, sedikitpun tidak kelihatan kekok apabila kedua-duanya diminta supaya beraksi manja dan romantik sekalipun ibu Lisa setia menemani anak gadisnya itu sepanjang fotografi berkenaan, seolah-olah memberi petanda awal ‘merestui’ hubungan rapat yang terjalin antara Lisa dan Farid.

Lazimnya, pasangan artis akan memberikan pose plastik semata-mata untuk meraih publisiti media massa dalam usaha menaikkan rating filem mahupun drama lakonan kedua-duanya, namun apa yang dipamerkan Lisa dan Farid, tidak keterlaluan jika mentafsir kemesraan mereka ikhlas, bukannya dibuat-buat, sekali gus aksi dirakamkan jurugambar menceritakan segala-galanya, mungkin ada ‘sesuatu’ di antara mereka.

Pun begitu, atas dasar profesionalisme atau berprasangka peminat meluat sekiranya artis kesayangan mereka memadu kasih, perasaan cinta yang mungkin terpancar di sanubari masing-masing terpaksa dipendamkan begitu saja, namun mungkin mereka juga tidak pernah jemu menanti ketika dan saat sesuai merungkai ‘sesuatu’ yang dimaksudkan tadi.

Selepas putus cinta dengan pelakon dan model cantik, Irma Hasmie suatu ketika dulu, Farid mengakui sehingga hari ini dia belum memiliki hati seorang wanita yang layak digelar kekasih. Namun, Farid dengan pantas menolak untuk memberikan sebarang komen apabila bekas kekasihnya itu dikatakan menemui cinta baru bersama juara Raja Lawak musim kedua, Nabil.

Melihat pada keintiman Farid bersama Lisa yang semakin hari terus menemui keserasian, tidak mustahil suatu hari nanti mereka bakal menjadi pasangan kekasih. Adakah pernah terdetik di hati Farid memilih Lisa sebagai cinta barunya?

“Sebagai lelaki, saya akui pakej yang dimiliki Lisa adalah sesuatu yang menarik perhatian. Semakin lama saya bekerja dengan Lisa, kami jadi semakin rapat, semakin mengenali hati budinya dan terus selesa untuk berkawan dengannya. Lazimnya, sebelum sesuatu hubungan yang serius itu terjalin, peringkat pertama, pasangan berkenaan berkawan baik.

“Namun, jika ditakdirkan suatu hari nanti hubungan rapat antara saya dan Lisa tiba-tiba ‘terbabas’ (membabitkan perasaan), perkara itu adalah di luar jangkaan. Sebarang perasaan yang bakal wujud tidak boleh dipaksa atau dibendung, ia datang sendiri. Tapi, buat masa ini, antara saya dan Lisa, kami selesa sebagai kawan baik. Sekiranya jatuh hati dengannya suatu hari nanti, semua itu kerja Tuhan.

“Tapi, terus-terang, fokus saya ketika ini kepada kerjaya, bukan cinta semata-mata. Biarlah saya sukses dan mencapai cita-cita, kemudian jika ada jodoh, saya terima seadanya. Bukan saya maksudkan Lisa adalah jodoh saya, tapi dengan sesiapa saja, insya-Allah,” kata Farid yang memberi petanda tidak mahu berpura-pura apabila berbicara soal perasaannya terhadap Lisa.

Selesa bekerja dengan Metrowealth

BERCAKAP mengenai soal kerja, Farid baru selesai membintangi filem terbarunya, Evolusi KL Drift 2 dan bermula 12 Mac lalu, dia kembali sibuk di lokasi menjayakan drama bersiri, 3 Janda sebanyak 26 episod, sekali gus bergandingan dengan Lisa. Dia juga memiliki syarikat sendiri, Untitled Art Works Sdn Bhd yang bertanggungjawab dalam urusan penghasilan skrip termasuk skrip Remp-It V3 yang pertama kali menyaksikan Farid bergelar sutradara.

Kini, Farid kembali bernaung di bawah pengurusan MMP selama tiga tahun sehingga 2010. Namun, sebelum itu, sebaik tamat kontrak dengan MMP, sekitar 2007, Farid cuba bergerak sendiri. Farid akui, perjalanan seninya ketika itu sedikit kabur apabila kariernya tidak diurus dengan sempurna, sekali gus dia ‘tergelincir’ dalam senarai Top 5 ABPBH 2007.

“Apabila saya kembali ke pangkuan MMP, penerbitnya, David Teo terus memberi saya peluang sebagai pengarah Remp-It V3. Bagi saya, kita sewajarnya menghormati keputusan majikan kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk kita. Sekiranya wujud sebarang masalah, sebaik-baiknya berbincanglah dari hati ke hati bersama majikan, jangan terus menghukum mereka. Sebagai bukti, saya dapat rasai perubahan dalam karier,” kata Farid lagi.

Lisa nafi jatuh hati pada Farid

BAGI Lisa pula, sebaik putus cinta dengan anak pak menteri suatu ketika dulu, dia turut mengakui belum lagi bertemu cinta baru. Tapi, bagaimana pula perasaannya terhadap Farid, kemesraan mereka semakin terserlah sejak akhir-akhir ini?

“Saya ni selesa berkawan dengan semua orang. Apabila saya pandang Farid, saya menghormatinya sebagai artis senior, dia banyak memberi tunjuk ajar. Kami memang berkawan, tapi sekadar sesama teman artis, tidak terbit sebarang perasaan pun,” kata Lisa yang masih berlapik apabila berbicara soal hatinya.

Sekiranya perasan sebagai seorang kawan tiba-tiba beralih kepada kasih, sayang dan cinta terhadap Farid, adakah Lisa tetap menolaknya?

“Suatu hari jika wujud perasan sayang ke, kasih mahupun cinta terhadapnya (Farid), itu ketentuan Tuhan, saya reda. Yang penting nawaitu, sekarang fokus saya terhadap kerja dan keluarga, manakala cinta bukan keutamaan. Cinta akan datang apabila tiba masanya,” kata Lisa merungkai ‘sesuatu’ yang terjalin antara dia dan Farid sekalipun masih ada tanda tanya.

Duta Lip Ice ini semakin melonjak popularitinya sehingga Astro mengambilnya sebagai ‘jenama’ sekalipun dia masih terlalu hijau dalam industri hiburan. Lazimnya populariti yang naik mendadak, akan cepat merudum, apa komen Lisa?

Cuba elak ditimpa kontroversi

"IA satu kemungkinan yang boleh berlaku, kita tak boleh nak jangka, bergantung kepada rezeki masing-masing. Pandangan saya secara peribadi, bertahan lama atau cepat merudum populariti seseorang itu, bergantung kepada artis itu sendiri. Sekiranya banyak terdedah kepada kontroversi, lebih membuka ruang, dirinya tidak bertahan lama. Harap-harap perkara seumpamanya tidak berlaku ke atas diri saya,” katanya.

Mengenai pencalonannya dalam ABPBH 2008, Lisa sangat bersyukur dengan sokongan peminat. Dia tidak mahu lalai dengan pencapaiannya hari ini.

“Untuk tahun mendatang, saya harap akan terus mendapat sokongan peminat. Kejayaan hari ini, saya akan jadikan ‘booster’ untuk terus memberikan yang terbaik kepada peminat, saya tidak mahu menghancurkan kepercayaan dan sokongan mereka,” kata Lisa yang terus menyimpan cita-cita bergelar peguam bertauliah suatu hari nanti, sekali gus mewarisi firma guaman milik arwah ayahnya.

ABPBH edisi ke-22 akan berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands pada 12 April depan secara langsung di TV3 dan HotFM bermula jam 9 malam. Anugerah ini terus mengekalkan tradisi prestij, meriah, glamor dan bergaya di samping penajaan daripada pelbagai sektor korporat antaranya Edaran Tan Chong Motors untuk kereta jenama Nissan, Rafflesia - The Pearl Centre, Pos Malaysia Berhad dan Empire Classic Furniture.

INFO: Farid Kamil

  • NAMA PENUH: Farid Kamil Zahari
  • TARIKH LAHIR: 5 Mei 1981
  • ASAL: Alor Star, Kedah
  • KELUARGA: Anak sulung daripada lima beradik
  • DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu), ibu (Siam dan Arab)
  • PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Seni Layar (Kepujian) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor
  • FILEM: 7 Perhentian, Remp-It, Anak Halal, Evolusi KL Drift 2, Estet dan Papadom
  • FILEM ARAHAN: Remp-It V3
  • DRAMA: Enigma, Begitulah Cinta, Fakulti, Takdir Yang Terindah dan 3 Janda
  • PENCAPAIAN: Anugerah Bakat Muda Seni Filem (Pelakon) pada Anugerah Seni Negara Ke-8 dan Wajah Eksklusif Astro Megadrama


INFO: Lisa Surihani
  • NAMA PENUH: Lisa Surihani Mohamed
  • TARIKH LAHIR: 23 Mac 1986
  • ASAL: Kuala Lumpur
  • KELUARGA: Anak keempat daripada lima beradik (perempuan tunggal)
  • DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu dan Bugis), ibu (Melayu dan Bugis)
  • PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of Aberystwyth, Wales, United Kingdom (UK)
  • FILEM: Good Bye Boys, I’m Not Single, Cyber X Ancaman Penggodam, Jangan Pandang Belakang Congkak, Remp-It V3 dan Kapoww
  • DRAMA: Obsesi, 3 Janda, Anak Merdeka, Mataku Nampak Hantu dan Ponti Anak Remaja
  • TEATER: www.puterigunungledang.com.my
  • PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) dan Wajah Eksklusif Astro Megadrama