Material Girl sukar dipuaskan, bersilih ganti teman lelaki dan suami
USIANYA kini mencecah separuh abad, namun penampilan diri dan persembahan bertenaganya di atas pentas tidak sedikit pun mencerminkan usia sebenarnya, sekali gus membuatkan superstar ini terus dilabelkan sebagai wanita berpengaruh di dunia, terutama dalam bisnes hiburan.
Malah, banyak pihak menganggapnya masih seorang artis simbol seks, gelaran yang disandangnya ketika mula-mula menceburi bidang nyanyian dulu, membuatkan ramai lelaki di seluruh dunia menyimpan impian untuk mendampinginya.
Itulah keistimewaan Madonna yang lebih dikenali peminatnya di seluruh dunia dengan jolokan Material Girl, sempena judul salah satu lagu popularnya sekitar 1980-an.
Hakikatnya, bintang terkenal ini tidak boleh dipisahkan dengan lelaki sepanjang hidupnya, malah beliau bertukar pasangan hidup umpama `menukar baju’, sesuai dengan kehidupannya yang glamor dan dilimpahi kemewahan.
Bagi Madonna atau nama sebenarnya, Madonna Louise Ciccone, 50, beliau hanya perlu memetik jari untuk memilih teman lelaki atau suami baru.
Ini terbukti kerana belum pun selesai urusan perceraiannya dengan pengarah filem terkenal British, Guy Ritchie, beliau sudah pun menemui penggantinya, Alex `A-Rod’ Rodriguez, seorang pemain besbol terkenal dari New York Yankees.
Beliau dikatakan mula menjalin hubungan dengan bintang sukan bertaraf jutawan itu ketika mengadakan konsert jelajahnya, Sticky & Sweet Tour 2008 di Amerika Syarikat, Ogos lalu, malah mereka dilaporkan sering menikmati makan malam bersama sebelum pulang ke pangsapuri mewahnya di New York.
Justeru, banyak pihak menganggap kehadiran bintang sukan itu sebagai punca keruntuhan rumah tangga Madonna - Ritchie yang terbina sejak lapan tahun lalu dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Rocco Ritchie, 8.
Selain Rocco, Madonna mempunyai anak perempuan, Lourdes Maria Ciccone Leon, 12, hasil hubungan dengan bekas jurulatih peribadinya, Carlos Leon pada 1994, dan seorang anak angkat lelaki dari Malawi, David Banda Mwale Ciccone Ritchie, 4.
Bagaimanapun, superstar yang memiliki kekayaan bernilai lebih RM1.8 bilion itu tidak mahu nama Rodriguez disebut-sebut dalam kes perceraiannya sehingga pembahagian harta mereka selesai sebelum Krismas ini, yang pasti bakal menjadikan bekas suaminya itu seorang duda kaya.
Perceraian mereka diumumkan di Kota London, 15 Oktober lalu dalam satu kenyataan bersama yang dikirimkan melalui e-mel kepada media oleh pegawai publisiti Madonna, Liz Rosenberg, dan meminta semua pihak menghormati keputusan itu.
Biarpun pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka, Ritchie dikatakan tidak sabar untuk bercerai selepas hubungan sulit isterinya itu terbongkar, selain beberapa faktor berkaitan, termasuk perbezaan agama, sering ditinggalkan dan diperlakukan seperti budak suruhan.
Bagaimanapun, ini bukan perkara baru bagi superstar itu kerana beliau sememangnya berselera liar dan sering bertukar teman lelaki ketika zaman mudanya, malah perkahwinan pertamanya dengan aktor Hollywood, Sean Penn, pada 1985 cuma bertahan selama empat tahun.
Difahamkan, perpisahan mereka berpunca dari hubungan terlarang antara penyanyi itu dan pengawal peribadinya, Ettore Santinello, yang berketurunan Itali.
Beliau kemudian menggoda Warren Beatty yang dipanggilnya `Old Man’ ketika sama-sama membintangi filem aksi, Dick Tracy, sebelum dikaitkan dengan model biseksual, Tony Ward, yang pernah beraksi dalam klip videonya, Cherish dan Justify My Love pada awal 1990-an.
Bagaimanapun, hubungan mereka terputus pada 1991 apabila beliau tertarik kepada penyanyi rap, Vanilla Ice, seterusnya pemain bola keranjang terkenal, Dennis Rodman sebelum bertemu Leon pada 1996 hingga memperoleh Lola dua tahun kemudian.
Turut dikaitkan dengannya ialah pengarah filem terkenal, Andy Bird, yang dibayar lumayan apabila menjual cerita hubungan mereka kepada media, selain pasangan heronya dalam filem epik Evita, Antonio Banderas dan pelakon utama filem romantik The Next Best Thing, Rupert Everett.
Namun, hubungannya dengan ketiga-tiga selebriti terkenal itu terkandas di tengah jalan selepas hatinya tertawan pada sikap budiman Ritchie, yang diperkenalkan oleh Sting dan isterinya, Trudie Styler.
Malah, banyak pihak menganggap perkahwinannya mereka itu yang berlangsung di Scotland pada 22 Disember 2000 akan menjadi perkahwinan abadi, namun ia hanya tinggal kenangan apabila kedua-duanya mencapai persetujuan untuk berpisah.
Apakah kesudahan kes perceraian Madonna - Ritchie, tunggu saja perkembangan mengenainya yang bakal menjadi kes perceraian termahal abad ini, mengatasi jumlah pampasan perceraian Sir Paul McCartney dan bekas isterinya, Heather Mills sebelum ini.
Info
Nama Penuh: Madonna Louise Ciccone
Usia: 50 tahun
Tarikh Lahir: 16 Ogos 1958
Keturunan: Amerika - Itali
Asal: Michigan, Amerika Syarikat
Kerjaya: Penyanyi, Komposer, Pelakon, Penerbit Filem, Pereka Fesyen, Penulis Buku dan Ahli Perniagaan
Status: Ibu Tunggal
Bekas Suami: Guy Ritchie (2000 - 2008), Sean Penn (1985 - 1989)
Anak: Lourdes Maria Ciccone Leon, 12; Rocco Ritchie, 8, dan David Banda Mwale Ciccone Ritchie, 4
Album: Madonna, Like A Virgin, True Blue, Like A Prayer, Erotica, Bedtime Stories, Ray Of Light, Music, American Life, Confessions On A Dance Floor dan Hard Candy
Filem: A Certain Sacrifice, Desperately Seeking Susan, Vision Quest, Shanghai Surprise, Who’s That Girl, Bloodhounds of Broadway, Dick Tracy, A League Of Their Own, Body Of Evidence, Dangerous Game, Evita, Die Another Day dan I Am Because We Are
Dokumentari: Madonna - Truth Of Dare dan I’m Going To Tell You A Secret
Buku: Sex
Nilai Kekayaan: RM1.8 bilion