Welcome to cacamerbahentamsaja™...ada apa-apa request post je kat chatbox aku..kalo leh saya tunaikan.heee...harap kamu enjoy dalam blog yang tak seberapa nie....hee..tima kasih pada 5zal dan Dj Farrel yg memberi ispirasi kepada saya untuk membuat blog nie...any problem contact me at atokkwhutt@yahoo.com assalamualaikum
Welcome to cacamerbahentamsaja™,jom sembang disini,sila jaga tutur kata anda,enjoy...assalamualaikum

Pengikut CMHS

Tuesday, November 18, 2008

Rusdiana & Sari Yanti cuba elak gosip liar


Rusdiana dan Sari Yanti.

DUA bintang muda ini masih terlalu hijau mengharungi industri seni. Sekalipun menyedari persaingan sengit menanti mereka, selain onak duri tatkala bergelar anak wayang, namun bagi Sari Yanti dan Rusdiana Rusdi, semua itu hanyalah cabaran dan dugaan yang wajib ditempuh apabila membuat keputusan menjejakkan kaki di pentas hiburan sekalipun kedua-duanya mempunyai latar belakang pendidikan yang boleh menjamin masa depan.

Biarpun masih baru dalam dunia lakonan, Rusdiana sudah pun berdepan dengan ujian getir apabila dia dikatakan kekwat di lokasi, tidak mahu makan hidangan yang disediakan pihak produksi dan menunjukkan kepandaian mengajar artis senior cara berlakon yang betul!

“Tuduhan yang dilemparkan kepada saya, sekalipun tidak melampau hingga boleh menjatuhkan maruah, tapi ia tetap mencalar nama saya. Apabila produser atau pengarah lain membaca, pasti mereka ada tanggapan tersendiri. Namun, saya sentiasa memujuk diri, apa yang diperkatakan itu tidak pernah berlaku dan saya harus menerima gosip itu secara positif. Saya sentiasa bersedia dengan gosip, bezanya saya diuji terlalu awal,” katanya.

Adakah industri hiburan terlalu kejam bagi artis baru seperti dirinya?

“Industri tak pernah kejam dengan artis, bagi saya apa yang berlaku hanya menguji kesabaran diri. Ia akan menjadi kejam seandainya artis itu sendiri yang cari pasal sehingga membuatkan orang lain sakit hati. Saya sedar, sebagai artis baru, masih terlalu banyak yang harus saya pelajari. Saya sentiasa mengharapkan teguran daripada mereka yang berpengalaman seperti artis senior dan pihak media supaya saya tidak tersasar dari landasan,” ujarnya.

Kata Rusdiana lagi, dia tidak akan mempersia-siakan peluang yang sudah diberikan kepadanya. Peluang memegang watak utama sebagai doktor Siti dalam Ampang Medikal ibarat bulan jatuh ke riba.

“Peluang hanya hadir sekali dalam hidup kita. Saya tidak mahu mencalar peluang di depan mata apabila timbul kontroversi mahupun gosip liar gara-gara kesilapan diri sendiri. Benar, kontroversi dan gosip ada kalanya membantu artis mencipta populariti, namun jika keterlaluan, ia boleh menjatuhkan maruah, sekali gus menutup peluang sedia ada. Jadi, jangan berjinak dengan cerita sensasi, kelak membakar diri,” kata Rusdiana yang mengacarakan Whoa! di ntv7 yang kini masuk musim keempat.

Sari Yanti pula mula menempa populariti apabila drama bersirinya, Kisah Kaisara menjadi bualan ramai, manakala Rusdiana seorang bakat baru yang diberi kepercayaan memegang watak utama dalam drama bersiri, Ampang Medikal. Sekalipun kedua-duanya memulakan langkah dalam jangka waktu hampir sama, namun fotografi ini pertama kali menemukan mereka.

Sari bersedia hadapi kontroversi

Sari dijangka mampu memberi saingan kepada bintang sedia ada sekiranya dia terus bekerja keras menggilap bakatnya, selain memperoleh jalan cerita yang boleh melonjakkan lagi namanya. Namun, dia sentiasa beringat, sekali berada di atas, jangan lupa menoleh ke bawah apabila situasi artis popular dipinggirkan media, rakan artis dan peminat, ada kala membuatkan dirinya gusar kepada industri yang baru diceburinya ini.

“Perjalanan seni saya masih terlalu jauh dan banyak yang perlu saya belajar. Berilah saya ruang memperbaiki kelemahan. Dalam pergaulan pula, saya sentiasa berhati-hati dengan apa yang dituturkan kerana apabila menjadi artis, setiap apa yang kita cakap, kita buat, pasti menjadi perhatian ramai. Sedikit kesilapan kata-kata bakal mengundang padah berpanjangan.

“Nak kata saya takut kepada industri ini, tak boleh kerana ia realiti, yang penting jangan berbuat sesuatu yang boleh mencemar nama baik artis itu sendiri. Kontroversi dan gosip memang tak dapat lari dari kehidupan seorang artis, justeru apabila saya sudah bersedia menyahut cabaran sebagai anak seni, semuanya harus ditelan walaupun pahit. Yang penting sentiasa hindari diri dengan cerita negatif, insya-Allah kita boleh bertahan lama,” katanya.

Apabila bercakap mengenai Kisah Kaisara, pasti peminat teringat watak Sari yang manja dengan bapanya, lakonan Norman Hakim sebagai Hasnor. Kini, industri sedang hangat memperkatakan kisah Norman yang ditangkap kerana disyaki berkhalwat dengan pelakon baru, Memey, 30 Oktober lalu. Sedikit sebanyak, Sari pasti terkena tempiasnya.

“Memang saya terkejut. Mulanya sekadar khabar angin, tak sangka ia tiba-tiba menjadi kenyataan. Saya memang mentah dalam hal seperti ini, tapi jika diminta memberi pendapat, saya mempunyai pandangan sendiri. Sebagai orang luar, saya tak nampak siapa yang bersalah sama ada Norman mahupun Memey kerana kita hanya membaca laporan media saja kerana yang tahu cerita sebenar hanya tuan empunya diri.

“Yang penting, kita perlu berbalik kepada perkara asas, agama dan keluarga. Orang yang sudah berkeluarga, pasti tahu tanggung jawab mereka dan selesaikan dengan jalan terbaik,” kata Sari yang turut mengacarakan gua@MHI di TV3 dan TM Cage Futsal (Astro).

Info Sari Yanti

  • NAMA PENUH: Sari Yanti Mohamad Nazari
  • TARIKH LAHIR: 9 November 1984
  • ASAL: Kuala Pilah, Negeri Sembilan
  • KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik
  • PENDIDIKAN: Diploma Perniagaan dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten)
  • KOMERSIAL TV: Hotlink, Kentucky Fried Chicken (KFC), Kotex, Parmolive dan Sunsilk
  • DRAMA: Kisah Kaisara 1 & 2, Sofea Zahra, Lima, Gadis Merah Jambu, Juanna, Seandainya Aku Siti dan Pencak Akhir
  • FILEM: Impak Maksima dan Hooperz


Info Rusdiana Rusdi

  • NAMA PENUH: Rusdiana Rusdi
  • TARIKH LAHIR: 26 Mei 1985
  • ASAL: Dilahirkan di Holland, namun dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia enam tahun
  • KELUARGA: Anak bongsu daripada empat beradik
  • PENDIDIKAN: Diploma Pemasaran dan Pengiklanan dari Institute Advertising Communication Trainning (IACT), Damansara Utama
  • KOMERSIAL TV: Petronas, Parkson dan Hotlink
  • DRAMA: Kasih Suci dan Ampang Medikal
  • PENCAPAIAN: Tempat kedua, pertandingan realiti TV, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene 2006
blog comments powered by Disqus