Welcome to cacamerbahentamsaja™...ada apa-apa request post je kat chatbox aku..kalo leh saya tunaikan.heee...harap kamu enjoy dalam blog yang tak seberapa nie....hee..tima kasih pada 5zal dan Dj Farrel yg memberi ispirasi kepada saya untuk membuat blog nie...any problem contact me at atokkwhutt@yahoo.com assalamualaikum
Welcome to cacamerbahentamsaja™,jom sembang disini,sila jaga tutur kata anda,enjoy...assalamualaikum

Pengikut CMHS

Saturday, November 8, 2008

Halimunan Maya Derina - Pierre bengang dituduh bersikap pelik, mengurung diri dan disantau orang




APABILA pelakon Pierre Andre memberontak, menolak untuk ditemu bual seorang wartawan sehingga terjadi insiden kejar mengejar di sebuah pusat beli-belah baru-baru ini, dia dilabelkan biadap.

Ironinya, kata Pierre, dia bukan biadap. Tetapi tindakannya itu adalah untuk mempertahankan diri. Dan akuinya, yang saya temui petang Jumaat lalu, dia sudah tidak mahu menjadi manusia hipokrit. Dia akui juga, dia memang pemberontak, namun ia bersebab.

Kata Pierre dia mahu menjadi bad boy. Bad boy dalam definisi jejaka ini adalah nakal, tidak hipokrit dan bangun untuk mempertahankan diri sendiri.

Pernyataan itu terserlah pada imejnya yang berkiblatkan pelakon berkarisma Hollywood, Johnny Depp. Ia juga diterjemahkan pada bicaranya yang lancar, tidak lagi teragak-agak atau gagap seperti beberapa tahun lalu. Ya, Pierre sedang memperlihatkan sisi sebenar seorang Pierre Andre.

Faham jika ada pihak yang akan tidak selesa dengan perubahannya, kata Pierre: "Saya tak kisah pandangan orang kalau nak cakap kenapa tiba-tiba saya berubah. Sebenarnya saya tidak pernah berubah, Inilah saya, hanya selama ini saya tidak pernah menonjolkannya. Tapi kali ini saya sudah penat dan mahu keluar dari kepompong saya."

Pesan ibu yang selalu dipegang Pierre ialah 'kadangkala kita harus bangkit untuk mempertahankan diri'. Bukan untuk mengundang kontroversi, tetapi untuk membuktikan bahawa dirinya bukan senang dibuli.

"Untuk insiden yang berlaku, saya memberontak untuk mempertahankan diri. Namun saya tidak membuat apa-apa, sebaliknya saya minta izin untuk pulang dan dikejar.

"Apabila dikejar, saya lari dan pulang. Saya memang tidak mahu ditemu bual dia kerana saya sudah menjawab segala soalan sebelum itu," katanya tegas namun penuh sopan.




Anak bujang pelakon Khatijah Tan ini tenang. Sesekali dia ketawa dan melahirkan kekesalannya atas insiden yang terjadi.

"Saya jadi malu. Masa itu saya rasa saya sudah macam perompak kedai emas," Pierre ketawa mengenang kembali insiden dia dikejar seorang wartawan usai pelancaran filem Selamat Pagi Cinta lakonannya.

Saya tanya si bujang berusia 23 tahun. Apa yang tidak kena, apa yang terlalu peribadi sehingga melarat dan insiden itu, jujur, memalukan industri hiburan.

Penggemar filem yang mengisi jadual hariannya dengan banyak menonton DVD di rumah ini menggeleng. Katanya barangkali berpunca daripada isu kononnya dia bercinta dengan wanita halimunan bernama Maya Derina. Dan kata Pierre, kepada semua wartawan dia mengaku bahawa tidak mengenali wanita misteri itu.

"Tapi saya tidak menolak mengenali wanita bernama Elly yang bergambar dengan saya dan didakwa sebagai wanita misteri yang telah banyak memperdaya teman artis lain.

"Ya, saya kenal Elly sebagai salah seorang krew di syarikat Metrowealth. Dia yang beriya-iya mahu memperkenalkan saya dengan wanita bernama Maya Derina yang didakwa sebagai adik tirinya atas alasan wanita ini mahu melabur untuk projek filem saya.

"Jadi kita menyusun temu janji, malangnya, setiap kali bertemu janji, Maya Derina ini tidak muncul. Dari sini, saya sudah perasan ada sesuatu yang tidak kena. Dan selepas itu hubungan saya dengan Elly pun renggang.

"Saya rasa kerana penjelasan saya tidak mengenali Maya Derina inilah yang menjadi punca insiden ini. Memang saya tak kenal Maya Derina. Tapi saya kenal Elly," jelas Pierre mengenai wanita misteri yang menggugat kelancaran hidupnya ini.


DEFINISI bad boy bagi jejaka ini ialah nakal, tidak hipokrit dan bangun mempertahankan diri.


Maya Derina yang sehingga kini statusnya masih samar juga menjadi subjek utama Pierre dikatakan banyak berubah terutama dari segi karakter. Jejaka yang dikenali sebagai pemalu ini didakwa bersifat pelik, mengurung diri dan disantau orang.

Tegas Pierre, semua dakwaan tersebut adalah fitnah. Dia menafikan disantau atau mengurung diri. Tetapi memberitahu cerita ini memberi tekanan buat dirinya dan membuat dia mengambil keputusan untuk tidak keluar bertemu media. Dia memerlukan ruang untuk diri sendiri.

Jangka waktu sebulan yang diambil mengasingkan diri daripada industri diisi dengan aktiviti normal remaja seusianya seperti menonton wayang.

Malah dia sendiri sempat menyudahkan tiga skrip dalam waktu 'pengasingan' tersebut. Tegasnya juga, dia normal dan tidak pernah disantau sesiapa, jauh sekali hampir menjadi gila.

"Itu semua fitnah dan tuduhan yang amat mengaibkan," pendek dia menghamburkan kekesalan sambil mengatakan lagi: "Saya sendiri mahu tahu siapa Maya Derina kerana perkara ini menakutkan saya."

Pun insiden wanita misteri yang mencalarkan nama baiknya kini tidak membuat Pierre yang juga giat mengarah dan berlakon, serik bercinta.

Sebagai lelaki, naluri terhadap wanita itu tinggi. Malah dia juga seperti lelaki lain, memasang impian untuk berkahwin. Namun dia menjarakkan dan menjauhkan dirinya daripada jatuh cinta seorang selebriti. Terlalu banyak hipokrasi. Begitu kata Pierre lagi.

"Malaslah saya bercinta dengan artis lagi. Serik. Banyak sangat benda nak diselindungkan, sedangkan bukannya semua orang tak boleh fikir apa yang sedang terjadi.

"Biarlah, kalau ada jodoh, saya mahu berkahwin dengan wanita biasa sahaja," luah Pierre yang turut menafikan pernah bercinta dengan Maya Derina dan kini dirinya memegang status solo.

Rezeki di Indonesia

Sudah menonjolkan kredibilitinya menerusi filem seram Jangan Pandang Belakang yang meraih sukses luar biasa sebelum membikin penasaran jiwa dengan komedi romantik seperti 9 September juga I'm Not Single dan akan kembali memeluk jalur seram menerusi Jangan Tegur yang baru selesai penggambaran, kata Pierre yang skrip tulisannya, Selamat Pagi Cinta bakal berada di pawagam 20 November ini hasil arahan bekas cinta hatinya, Yana, dia mempunyai segudang lagi karya klasiknya yang mahu dikongsi bersama khalayak.

"Insya-Allah. Saya mempunyai beberapa buah skrip dan projek filem komersial juga pendek dalam jalur seram, ketuhanan dan komedi yang masih dalam simpanan.

"Jika punya peluang, saya mahu kesemua idea ini diterjemahkan dalam sebuah karya kerana membikin karya adalah hobi saya," katanya yang baru selesai menjalani penggambaran drama seram berjudul Hantu Raya.

Malah langkahnya kini semakin lebar apabila terbabit dalam karya usaha sama Malaysia-Indonesia yang menyaksikannya bergandingan dengan dua pelakon berkaliber republik tersebut termasuk Tora Sudiro.

Filem yang dijangka memasuki pawagam April 2009 ini diberi judul Teman Selamanya - Bego, yang memaparkan kisah tiga lelaki malang dengan mengangkat realiti kehidupan dalam jalur komedi.

blog comments powered by Disqus