Dek kerana penangan kuat dari drama bersiri ‘Nur Kasih’, pelakon Tiz Zaqyah Abdul Razak atau lebih dikenali sebagai Tiz Zaqyah telah berjaya memegang trofi bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian(ABPBH) 2009 baru-baru ini.
Penangan 'Nur Kasih' melihat Tiz dan Remy Ishak menjulang anugerah Pelakon TV Wanita dan Lelaki Popular
“Tak sangka akan menang. Tak tahu nak ungkap macam mana. Tiz bersyukur sangat-sangat,” ujar Tiz ketika ditemui di ‘Post Party ABPBH’ pada malam Ahad lalu.
Tiz mengalahkan Scha Al-Yahya, Noorkhiriah, Rozita Che Wan dan Fasha Sandha. Ini merupakan kali pertama Tiz dicalonkan dalam ABPBH. Selain Tiz, ‘suaminya’ dalam drama ‘Nur Kasih’, Remy Ishak turut memenangi kategori Pelakon TV Lelaki Popular. Nampaknya drama ‘Nur Kasih’ benar-benar memberi impak yang besar terhadap karier lakonannya.
“Alhamdulillah. Ia satu pencapaian bagi Tiz. Tiz sedar penangan ‘Nur Kasih’ sangat kuat,” ujarnya yang turut pernah membintangi drama ‘Impian Sunsilk’ dan ‘Impian Ilyana’ sebelum ini.
Selain dicalonkan dalam kategori Pelakon TV Wanita Popular, Tiz turut dicalonkan bagi kategori Artis Baru Wanita Popular. Namun nasib tidak menyebelahinya kerana penyanyi Yuna berjaya memenangi kategori ini.
“Yuna cukup ‘kuat’ dan ‘hot’. Lagipun saingan bagi kedua-dua kategori sangat kuat. Tiz pun tak sangka akan menang.”
“Tiz nak berehat. ‘I want to have my own time’.” Begitulah luahan gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini ketika ditanya apakah yang akan dilakukannya selepas ini. Tiz mengakui sudah lama dia ingin berehat namun keadaan tidak mengizinkan.
“Tiz mungkin akan berehat dalam sebulan macam tu. Tiz nak meluangkan masa dengan keluarga.”
Tiz turut memberitahu dia mungkin akan kembali berlakon pada Mei ini untuk sebuah filem. Ini merupakan filem pertama bagi Tiz. Apabila ditanya apakah judul filem itu, Tiz hanya menjawab, “Tak boleh beritahu lagi, ada lah.”
Gadis berumur 22 tahun ini mula berkecimpung dalam dunia lakonan sejak tahun 2006 lagi. Namun namanya hanya melonjak naik sejak dia memegang watak Nur Amina dalam ‘Nur Kasih’.
Sebelum mengakhiri temubual, Tiz turut berkata, “Saya nak berjaya dengan apa yang saya buat. Saya nak serius dengan karier. InsyaAllah.”
sumber : gua.com.my